Ahad, 8 November 2009

ASPiRiN

PiL ASPiRiN

Assalamualaikum.

Pagi tadi, ketika sedang menonton televisyen, terkeluar iklan mengenai H1N1. Ada 8 kategori orang yang berisiko tinggi, antaranya kanak-kanak dan remaja yang mengambil ubat aspirin dalam tempoh jangka masa panjang. Papa tanya pada li, apa itu aspirin? Li jawab ubat sakit kepala kot (migrain). Papa tanya macam penadol ke? Li yang tidak berapa pasti, mengiyakan sahaja. Makanya, li pun dengan perasaan ingin tahu, carilah maklumat di internet. Setelah diteliti, beginilah ceritanya...


Aspirin dikategorikan di dalam kumpulan dadah yang dipanggil salicylates. Ia merupakan ubat yang sungguh berkesan untuk menurunkan demam (anti-pyretic) seseorang pesakit. Ianya juga dapat merawat dan mengelakkan serangan jantung bagi pesakit jantung (kematian tisu jantung). Sering digunakan bagi melegakan kesakitan kecil serta sebagai ubat anti-radang (anti-inflammatory). Juga sebagai ubat penahan sakit (Analgesic) dan sakit kepala (migrain).

Tetapi ia boleh menyebabkan sakit perut akibat gastritis sehingga boleh membawa kepada pendarahan di dalam perut. Jika ini berlaku, najis pesakit itu kelihatan hitam akibat darah yang telah bercampur dengan asid di dalam perut dan pesakit boleh memuntahkan kandungan perutnya yang kelihatan seperti kopi. Ada terdapat juga orang yang alah kepada aspirin.

Setiap kali memakan ubat, akan timbul kegatalan pada kulitnya. Kanak-kanak yang lelah boleh timbul lelahnya apabila dia diberi aspirin; para doktor tidak gemar memberi aspirin untuk merawat kanak-kanak kecil yang demam kerana ada pendapat yang mengatakan bahawa pengunaan aspirin ada kaitan dengan kejadian Sindrom Reye’s yang melibatkan hati dan urat saraf kanak-kanak dan membawa kepada kegagalan sistem hati (liver failure) serta gangguan fungsi urat saraf.

Aspirin juga digunakan untuk merawat penyakit seperti Rheumatoid Arthritis. Jika ubat ini dimakan melebihi dos (sukatan), boleh membawa kepada keadaan bingit di telinga (tinnitus), perasaan huyang-hayang (vertigo) dan muntah-muntah, sakit kepala, loya, pening, kekeliruan, halusinasi, pernafasan pantas, demam, rampasan (terkejang-kejang), atau koma.

Oleh itu, aspirin hendaklah digunakan dengan tepat iaitu merujuk pada label, atau atas nasihat doktor. Yang penting, tidak melebihi dos yang dibenarkan (dicadangkan). Disamping itu, perlulah dielak daripada minum minuman keras kerana alkohol mungkin meningkat risiko pendarahan di perut (bagi muslim, memang diharamkan sama sekali).

Begitulah sedikit sebanyak maklumat tentang aspirin yang dapat li kongsikan bersama. Sehingga bertemu kembali. Wassalam.

Sumber:


Tiada ulasan:

Catat Ulasan