Isnin, 14 Februari 2011

KeKaSiHKu Ya RaSuLuLLaH

Sewaktu di sekolah pagi tadi, ada pelajar cina menanya kepada li, hadiah apa yang cikgu beri pada si dia sempena 14 Februari ini, pelajar melayu yang mendengar pertanyaan itu menjawabkan bagi pihak li, mereka mengatakan cikgu jangan sambut, berdosa.


Sememangnya sebagai umat Islam, kita ditegah untuk melakukan maksiat, termasuk menyambut perayaan kepercayaan bagi kepercayaan lain. Li lebih suka menggunakan kepercayaan lain daripada agama lain, kerana tiada agama selain Islam, dan istilah agama hanya merujuk kepada Islam. Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya adalah kepercayaan, bukan agama!

Berbalik kepada tajuk kita pada hari ini, Kekasihku ya Rasulullah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. merupakan manusia yang dikasihi oleh semua makhluk termasuk malaikat, pokok, binatang, tanah, gunung dan sebagainya, juga merupakan makhluk yang dikasihi oleh Penciptanya dan Pencipta kita semua, iaitu Allah s.w.t. Oleh itu, sering kali kita mendengar ketika khatib berkhutbah, menyeru umat Islam berselawat ke atas Baginda dengan semudah-mudah selawat, disamping Allah s.wt. beserta malaikat juga berselawat ke atas Baginda. Makanya, janganlah kita kedekut untuk berselawat.


Berbicara mengenai kekasih, kasih itu perlu diberikan dan diletakkan pada tempatnya. Pertama, kasih kepada Allah s.w.t. Kasih kita kepada pencipta adalah dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Kedua, kasih kepada Rasulullah s.a.w. Kasih kita kepada baginda adalah dengan mengikuti sunnahnya, menjadikannya sebagai idola (bukannya artis, mentor, orang kenamaan dan sebagainya), dan mempertahankan kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh musuh-musuh Islam.

Ketiga, kasih kepada ibu. "Kasihnya ibu, membawa ke syurga" adalah ungkapan yang acap kali kedengaran, memberi gambaran jelas bahawa ibu merupakan insan yang wajib dikasihi dan disayangi, kerana apa? Li yakin, rakan-rakan tahu sebabnya (kalau tak tahu, dengarlah lagu My Mother). Keempat, kasih kepada ayah. Insan yang juga perlu kita kasihi kerana tanpa ayah dan ibu, tiadalah kita didunia. Kelima, kasih kepada isteri dan anak-anak dan keenam, kasih sesama insan, khususnya kepada saudara seislam di merata dunia.

Itulah dia, kasih, kekasih, dikasihi dan mengasihi. Jumpa lagi di lain coretan. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan