Ahad, 18 Oktober 2009

Persoalan berkisar Deepavali

Assalamualaikum..

Pelbagai persoalan bermain di minda li, mengenai hukum menyambut Deepavali. Perbagai pendapat dan jawapan yang diberikan. Ada yang bersetuju dan ada pula yang tidak bersetuju. Dalam coretan li kali ini, li ingin berkongsi dengan rakan-rakan tentang dapatan li yang berkisar mengenai Deepavali dan hukum yang berkaitan dengannya.

Dimulakan dengan apa itu Deepavali.

Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang bermaksud cahaya dan perkataan "Gavali" yang bermaksud barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalender Tamil (Antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya (Festival Cahaya).

Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil di mana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.

Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya diperbuat daripaja bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi, Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.

Menurut buku panduan wisata, Deepavali menandai kemenangan sifat baik atas sifat jahat. Seperti yang boleh disaksikan di filem-filem Bollywood, pada perayaan Deepavali, kebanyakan rumah menyalakan lampu minyak kecil untuk menyambut cahaya dan keberuntungan. Kerana itu, perayaan ini disebut juga Festival of Light.

Mengenai hukum, terdapat dua pendapat ulama’ mengenainya iaitu ulama’ yang mengharamkan langsung kita menyambut/meraikannya, manakala pendapat kedua pula mengharuskan kita meraikannya.

Sebagai contoh untuk membezakan menyambut dengan meraikan ;

menyambut : kita menyertai acara penyembahan yang dijalankan oleh penganut hindu yang mempercayai dewa-dewa mereka.

meraikan : seperti kita meraikan jemputan daripada kawan/saudara kita yang membuat kenduri.

Dengan alasan ziarah maka para ulama’ membolehkan perkara ini dilakukan kerana Islam tidak melarang sesuatu kaum yang bukan beragama Islam yang taat dengan pemerintah Islam untuk mengamalkan adat resam mereka. Yang salah adalah kita beragama Islam turut sama menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan turut serta menghayati apa yang berlaku disebalik peristiwa itu.

[http://muhammadhanif.wordpress.com/2008/10/25/hukum-menyambut-depavali/]

Menurut laman rasmi Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), kita diharus mengucapkan selamat menyambut hari perayaan kepada kaum bukan Islam.

Dalam laman islam-0nline yang memuatkan salah satu kenyataan AL-QARADHAWI yang berbunyi :

Dan dia (al-Qaradhawi) berkata tentang mengucap tahniah kepada perayaan Yahudi dan Kristian: “Ini (ucap tahniah) termasuk dari hak-hak bersama.

Jika seorang ahli kitab datang dan mengucapkan tahniah kepada kamu dengan perayaan kamu, dan dia berkongsi kedukaan dan musibah kamu, dan dia mengucapkan ta’ziah kepada kamu dengan kedukaan dan musibah tersebut.

Maka apakah pula yang melarang kamu dari memberi tahniah dengan perayaannya dan dalam kegembiraannya dan kamu ucap takziah dalam musibah yang menimpanya.

Allah berfirman : “Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa”. (an-Nisa’ : 86)

Ini tidaklah bermakna kita menyambut perayaan mereka bersama mereka. Sebaliknya kita hanya mengucapkan tahniah sahaja. Inilah daripada kebaikan dan keadilan yang datang bersama agama ini (Islam)”.

Tetapi, berbeza pula pendapat yang dilontarkan oleh NASRUDIN TANTAWI, beliau memberi hujahnya berdasarkan ayat berikut:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya”. (al-Isra’ : 36)

Hujah beliau dikuatkan lagi dengan pendapat Imam AS-SUYUTI yang menyatakan bahawa:

“Sesungguhnya Saidina Umar al-Khattab telah mensyaratkan ke atas mereka (kafir zimmi) agar tidak menzahirkan perayaan mereka di negeri-negeri umat Islam. Apabila mereka ditegah daripada menzahirkan, maka bagaimana pula seorang Muslim itu melakukannya?

Tindakan tersebut adalah sebahagian dari tindakan yang boleh menguatkan ketamakan hati mereka utk menzahirkan perayaan mereka”.

[As-Suyuti, Al-Amru bi at-Tiba’ wa an.Nahy ‘an al-Ibtida’, hlm. 150.]

Fatwa Kerajaan Arab Saudi (Lajnah Daimah Lil Buhuts al-Ilmiyyah wal Ifta`) pula yang diketuai oleh SYAIKH ABDUL AZIZ BIN ABDULLAH ALI SYAIKH menyatakan dengan tegas:

“Dilarang bagi umat Islam untuk mengucapkan selamat atas hari raya orang kafir, karena ini menunjukkan sikap rela terhadapnya di samping memberikan rasa gembira di hati mereka”.

[Dari Eropa, anggota Dewan Penelitian dan Fatwa Eropa- Al-Majlis Al-Urubi li Al-Buhuts wa Al-Ifta`]

Menurut MUHAMMAD FUAD AL-BARRAZY pula, beliau berkata:

“Saya tidak membolehkan untuk memberikan ucapan selamat hari raya kepada mereka (pemeluk agama lain), juga tidak membenarkan untuk saling bertukar hadiah dalam kaitan itu (bagi tujuan meraikan)”.

Manakala MUHAMMAD SALEH AL-MUNAJJID, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi berpendapat hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam.

Alasan beliau ialah:

1. Hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh supaya tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia daripada golongan mereka”. (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093)

2. Dalam suatu kaedah, ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu merelai kekufuran adalah kufur. Ikut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang. Islam menolak sekeras-kerasnya sikap itu.

3. Umat Islam dikehendaki bersikap benci terhadap kaum bukan Islam. Mereka wajib mencintai hanya kepada orang mukmin. Sikap ini disebutkan dalam salah satu judul Sahih al-Bukhari iaitu al-Hub fi'llah wa al-bughd fi'llah min al-iman:

“Antara ciri iman ialah cinta dan benci kepada Allah”.

Inilah juga sikap yang wajib diteladani pada nabi Muhammad s.a.w., iaitu berkeras dengan bukan Islam dan berkasih sayang sesama mukmin. (surah al-Fatah : 29)

Di dalam laman [http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/292-sn094-hidup-harmoni-hanya-di-bawah-naungan-islam], penulis dengan jelas menyatakan bahawa meraikan perayaan keagamaan kaum bukan Islam tidak kira samada perayaan tersebut disambut oleh golongan Nasrani, Yahudi atau golongan Musyrikin (seperti Hindu, Buddha, Sikh) adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Meraikan di sini termasuklah mengucapkan selamat atau pun menghadiri majlis-majlis perayaan keagamaan mereka. Perbuatan ini termasuk sebagai mengiktiraf atau redha kepada agama mereka atau dengan kata lain, redha agar mereka kekal dalam agama mereka dan redha Allah disyirikkan (dijadikan gandingan) oleh mereka.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Sesungguhnya deen (yang diredhai) di sisi Allah adalah Islam” (Ali-Imran : 19)

dan di dalam firmanNya yang lain,

“Barangsiapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”. (Ali-Imran : 85)

Penulis mengaitkan sejarah Deepavali itu sendiri yang menjadikannya dihukumkan haram iaitu bagi memperingati peristiwa Dewa (Tuhan) Krishna yang telah membunuh syaitan (demon) bernama Narakasura dan sempena perkahwinan Lakshmi dengan Dewa (Tuhan) Vishnu.

Selain itu, ada yang menyatakan hari restu di mana Dewa (Tuhan) Rama kembali ke Ayodhya setelah mengalahkan Ravana dan terdapat beberapa kisah lain lagi. [http://www.abcmalaysia.com/tour_malaysia/deepavali.htm]

Penulis mengakhiri hujahnya dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Daud, Al-Baihaqi, Ibn Majah dan Ad-Daruquthni yang bermaksud:

“Barangsiapa di kalangan kaum Muslimin yang menyerupai atau meniru perbuatan orang kafir, maka dia itu adalah di kalangan mereka (orang-orang kafir)”.

Namun demikian, MUHAMMAD ABU FARIS di dalam Fatawa Syariahnya menyebutkan:

Menziarahi orang Kristian hukumnya mengikut niat, tujuan dan matlamat.

1. Jika bertujuan untuk melakukan amar makruf dan nahi munkar, maka ianya adalah Sunnah Nabi.

2. Sekiranya menziarahi dengan tujuan untuk mengagungkan perayaan ini, maka ia adalah dilarang sekiranya perayaan ini ada unsur-unsur syirik dan perkara yg menyalahi syariat.

3. Adapun menziarahi perayaan kerana kemanusiaan ataupun atas dasar berbuat baik kepada jiran atau rakan maka ianya diharuskan.

Dan terakhirnya, ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akedemi Pengajian Islam) menyebut bahawa;

“Mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam sempena hari-hari kebesaran agama mereka seperti hari Krismas, Deepavali, Thaipusam dan sebagainya, termasuk antara masalah furu’ (cabang) dalam akidah Islam yang diperselisihkan antara ulama pada zaman ini.

Jika maksud pengucapan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran kaum bukan Islam dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama, maka sememangnya haram dan sama sekali tidak boleh dilakukan”.

Namun, sebenarnya, jika maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih daripada hanya ikut bercuti pada hari itu, dan juga dengan niat untuk membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, atau hanya memperlihatkan rasa senang dan gembira hati dengan berkongsi kegembiraan mereka berhari raya, maka beliau berpendapat pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekali gus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka.

Beliau memilih jalan yang lebih sederhana, iaitu individu kafir yang dengan terang-terang memusuhi Islam dan umatnya, tidak harus diwujudkan sebarang hubungan pada hari-hari perayaan mereka, sekalipun mereka terdiri daripada ahli kitab.

Sebaliknya kafir yang setia kepada kerajaan Islam, seperti kaum-kaum bukan Islam yang tinggal di Malaysia, jika mereka telah menunjukkan kesetiaan yang baik kepada negara, memberi sumbangan ke arah keharmonian antara kaum serta hormat-menghormati antara kaum, terutamanya dengan masyarakat Islam, maka tiada salahnya kita berkongsi raya dengan mereka dalam hal-hal yang tidak berkaitan akidah dan tidak menyentuh kesucian Islam.

Bagaimanapun, kita tidak harus memandang kecil isu penerapan budaya dan syiar bukan Islam yang begitu mudah menyerap ke dalam masyarakat kita, terutama melalui media elektronik yang sangat digemari oleh anak-anak kita.

Begitulah hujah-hujah yang diberikan oleh saudara-saudara sesama Islam dengan kita. Dengan adanya pelbagai hujah-hujah tersebut, dapatlah saya dan rakan-rakan mengambil pelajaran dan pengetahuan yang berguna. Kepelbagaian hujah tersebut bukan bermaksud kita tidak bersatu dan mahu bermusuh-musuhan, namun itulah uniknya makhluk ciptaan Allah s.w.t, menjadikan manusia dalam pelbagai warna kulit, keturunan dan bangsa.

Hakikatnya, sebagai pedoman kita bersama, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadat kepadaKu”. ( az-Zariyat : 56 )



Tiada ulasan:

Catat Ulasan