Assalamualaikum...
Merujuk kepada perkara hukum ini, li telah melakukan sedikit ulangkaji mengenai hukum-hukum dalam Islam. Rupanya banyak perkara lagi yang li perlu pelajari, kerana banyak perkara yang li anggap sudah tahu, tetapi sebenarnya hanya sebahagian sahaja.
Baiklah, coretan kali ini, li ingin berkongsi tentang 5 ketetapan hukum (berfokus terhadap Mazhaf Syafie), iaitu hukum wajib, sunat, makruh, haram dan hukum harus.
Secara umumnya, hukum-hukum tersebut difahami seperti berikut:
1. Wajib: Mendapat pahala jika dilakukan dan mendapat dosa jika tidak dilakukan. Terbahagi 2 iaitu Wajib fardu ain (mesti dilaksanakan oleh setiap muslim) dan wajib fardu kifayah. (sekurang-kurangnya dilaksanakan oleh sebahagian muslim di sesuatu kariah/jemaah)
2. Sunat: Mendapat pahala jika dibuat tetapi tidak mengapa jika tidak dibuat.
3. Makruh: Ditinggalkan mendapat pahala tetapi tidak mengapa jika dibuat, namun mendapat kemurkaan Allah.
4. Haram: Mendapat dosa jika dibuat dan mendapat pahala jika ditinggalkan.
5. Harus: Buat atau tidak buat, tidak dapat apa-apa.
Begitulah yang kita ketahui dan diberitahu tentang hukum-hukum tersebut. Namun, apabila li mencari maklumat di internet, terdapat persoalan mengenai hukum tersebut, iaitu mempersoalkan mengenai dosa dan pahala, sejauh mana kita yakin apa yang kita buat itu mendapat berpahala dan sejauh mana perkara itu dikira berdosa.
Selidik punya selidik, definisi harus pula dipertikaikan berdasarkan definisi " buat atau tidak buat, tidak dapat apa-apa". Ini dipertikaikan kerana dalam surah Zalzalah ayat 7 dan 8, Allah berfirman yang bermaksud:
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!"
Oleh itu, terdapat definisi yang lebih khusus, yang diambil dari laman web bicara muslim bersumberkan kitab Usul Fiqh yang mendefinisikan seperti berikut:
1. Wajib: Perintah syarak dalam bentuk mesti.
2. Mandub (sunat): Perintah syara' dalam btk tidak mesti.
3. Muharram: Larangan syarak dalam bentuk kemestian.
4. Makruh: Larangan syarak yang tidak dalam bentuk mesti.
5. Mubah: Apa yang tidak berkaitan dengan larangan maupun perintah.
Selain itu, dalam laman web andi-puisi, telah menerangkan secara lebih terperinci mengenai hukum-hukum ini (yang dikenali sebagai hukum taklifi). Berikut diambil sebahagian daripada definisi yang ditulis oleh beliau:
1. Wajib: Suatu perkara yang diperintahkan oleh syarak secara keras kepada mukallaf untuk melaksanakannya. Juga suatu perbuatan kalau dikerjakan mendapat pahala dan kalau ditinggalkan akan mendapat siksa.
2. Sunnah (Mandub): Suatu perkara yang perintahkan oleh syarak kepada mukallaf untuk mengerjakannya dengan perintah yang tidak begitu keras. Juga perkara yang diberi pahala bagi yang mengerjakannya dan tidak disiksa bagi yang meninggalkannya .
3. Haram: Perkara yang dituntut oleh syarak untuk tidak mengerjakannya secara keras. Juga kalau dikerjakan mendapat siksa tetapi ditinggalkan mendapat pahala.
4. Makruh: Perkara yang dituntut syarak untuk meninggalkannya namun tidak begitu keras. Juga perkara yang dilarang melakukan tapi tidak disiksa bagi yang mengerjakan.
5. Mubah: Perkara yang dibebaskan syarak untuk memilih atau meninggalkannya.
Mengenai persoalan tentang surah Zalzalah tersebut, tidak ada apa yang perlu dimuskilkan. Persoalan ini timbul kerana pemahaman kita menjurus kepada soal pahala dan dosa, iaitu dapat pahala, dapat dosa ataupun tidak dapat apa-apa.
Merujuk kepada definisi, hukum adalah tertumpu kepada suruhan, larangan dan pilihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. terhadap hamba-hambanya. Dengan kata lain, hukum adalah untuk perbuatan (amalan),dan dosa serta pahala diberikan sesudah sesuatu perbuatan itu dibuat.
Sekian sahaja coretan li pada kali ini. Hingga berjumpa lagi. Ilal liqa'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan