Selasa, 24 November 2009

KeLeBiHaN IBaDaH QuRBaN


Sangat banyak hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan tentang keutamaan berqurban, dan di dalamnya terdapat pelbagai rahsia dan hikmah yang sangat besar.

Hadis-hadis tersebut di antaranya:

"Tiada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala qurban itu".
(HR. Tirmidzi dan Ibn Majah)

"Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: "Ya Rasulullah, apakah Ud-hiyyah (qurban) itu?". Rasulullah menjawab: "Itulah sunnah ayahmu Ibrahim". Para sahabat kembali bertanya: "Apakah yang kita akan peroleh dari Ud-hiyyah itu?". Rasulullah menjawab lagi: "Pada setiap helai bulu (dari binatang yang diqurbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan".
(HR. Ahmad dan Ibn Majah)

"Barangsiapa yang diberi kemudahan, sehingga ia mampu berqurban akan tetapi tidak mahu berqurban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami ini".
(HR. Ahmad dan Ibn Majah)

Daripada penjelasan beberapa hadis di atas, maka jelaslah bahawa amalan qurban itu adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam dan juga sunnah yang diwarisi dari Nabi Ibrahim a.s.

Bagi orang-orang yang melaksanakan qurban, ia akan dapat satu kebajikan daripada setiap helai bulu haiwan yang telah diqurbankan itu. Selain itu juga qurban tersebut akan memperoleh manfaat atau faedahnya jika sekiranya korban tersebut benar-benar dilaksanakan kerana Allah dengan tujuan untuk menegakkan sunnah dan terlepas dari maksud dan tujuan yang lain.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Dan binatang-binatang qurban itu Kami jadikan buat kamu sebagai sebahagian dari upacara-upacara (agama) Allah. Padanya ada kebaikan bagi kamu. Oleh kerana itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berbaris-baris. Maka apabila gugur (sembelihan-sembelihan itu), makanlah daripadanya dan berilah makan fakir yang menjaga kehormatan dan fakir yang meminta.

"Demikianlah Kami mudahkan (binatang-binatang) itu untuk kamu agar kamu bersyukur".

"Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya dan tidak pula darah-darahnya. Tetapi akan sampai kepada Allah ialah ketaqwaan dari kamu. Demikianlah dipermudahkannya qurban-qurban kepada kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan hendaklah kamu gembirakan orang-orang yang berbuat kebajikan." (Al-Hajj : 36-37)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan