Isnin, 3 September 2012

PLuS, PLuS, PLuS +++


Bismillahirrahmanirrahim

Coretan kali ini berkaitan pengalaman li di Projek Lebuhraya Utara Selatan atau lebih dikenali dengan singkatan PLUS. Bukan bermaksud li bekerja dengan syarikat tersebut, tetapi pengalaman yang sangat-sangat berharga, terutamanya ketika menghadapi kecemasan di lebuhraya.

Pengajaran pertama apabila menghadapi saat kecemasan di lebuhraya adalah pastikan kenderaan yang dipandu diletakkan di tempat yang selamat dari laluan kenderaan. Tempat yang seafdhalnya adalah di kawasan rehat R&R, namun kecemasan yang tiba-tiba berlaku seperti yang dialami oleh li, iaitu kemeletupan tayar belakang sebelah kanan, menyebabkan kami tersadai di lorong kecemasan.

Pengajaran kedua, hubungi anggota PLUS terus di talian 1 800 88 0000. Insyallah, mereka membantu. Jangan minta bantuan daripada orang yang anda tidak kenali, kerana kemungkinan anda akan 'disembelih', iaitu diperas duit anda dalam keadaan rela, melalui penarikkan kereta anda di bengkel. Menurut pengalaman ayah li, biasanya kenderaan yang dibawa ke bengkel dicaj lebih kurang RM200 dan secara automatiknya, mereka akan membuka enjin walaupun kita tidak memintanya berbuat demikian, agar dengan demikan, mereka dapat mengecaj lagi RM200 bagi upah pembukaan enjin, walaupun tiada tindakan yang dilakukan, hanya buka enjin sahaja. Bagi wanita pula, memang bahaya sekiranya berseorangan, mungkin diragut dan sebagainya. Oleh itu, jika kecemasan, hubungi pihak PLUS, nombor mereka terpapar di tiket PLUS yang anda terima sewaktu memasuki lebuhraya.

Pengajaran ketiga, jika anda dapat menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi, selesaikannya sahaja dalam kadar segera. Seperti yang li hadapi, masalah kemeletupan tayar dapat diatasi dengan menukar tayar yang telah rosak dengan tayar gantian. Mujur li bersama keluarga, kami bergotong-royong bagi menukar tayar yang tidak pernah kami pelajari dimana-mana. Hanya berpandukan buku panduan yang dibekalkan. Disamping itu, pastikan diri anda selamat ketika menukar tayar, kerana risiko dilanggar dari belakang cukup tinggi, terutamanya kenderaan berat yang tidak perasan kewujudan anda. Bagi wanita, jangan pening-pening kepala, hubungi sahaja pihak PLUS, walaupun anda mampu menyelesaikannya bersendirian.

Pengajaran keempat, pihak PLUS yang akan membantu anda, hanya akan datang dengan menggunakan kenderaan PLUS sahaja. Diulangi, menggunakan kenderaan PLUS sahaja. Oleh yang demikian, sekiranya ada pihak yang berkenderaan biasa, mengatakan beliau dari pihak PLUS, jangan mudah terpedaya. Maklumat ini diperoleh dari pihak PLUS sendiri, yang menasihatkan bahawa pihak PLUS tidak akan menggunakan kenderaan selain kereta peronda PLUS. Pakaian berlogokan PLUS, AAM dan sebagainya, mudah diperolehi di mana-mana, sedangkan penyamaran pihak berkuasa pun boleh berlaku, inikan pula pakaian berlogokan PLUS.

Pengajaran kelima, yang ini mungkin payah sedikit dan tidak semestinya diikuti. Ambil gambar mereka yang ingin membantu anda, seandainya mereka benar-benar ingin membantu, dan bukan dari pihak PLUS. Ini sebagai langkah berjaga-jaga. Hantarkan gambar mereka beserta nombor pendaftaran kereta mereka kepada keluarga anda, sekurang-kurangnya sekiranya berlaku juga kejadian yang tidak diingini, keluarga anda sedia maklum. Dan sekiranya pihak yang datang mengatakan ingin membawa kenderaan anda ke bengkel, jangan terima perlawaannya. Tunggu sahaja pihak PLUS. Apa pun yang berlaku, tunggu pihak PLUS.

Kesimpulannya, menjadi tanggungjawab anda untuk menyelenggara kenderaan anda tiga bulan sekali. Duit boleh dicari dan diganti, namun nyawa dan diri?

li- pengajaran dan pengalaman yang sukar dilupai di lebuhraya.

2 ulasan:

  1. lain kali tu , check , bwt persediaan apabila nk menaiki kereta uw .. kan dh jadi mcm tu ..

    BalasPadam