Bismillah wal hamdulillah...
Sambutan Maulidurrasul peringkat sekolah telah berjalan dengan lancarnya. Majlis yang berlangsung pada 29 Februari 2012 (tarikh yang jarang ditemui), bersamaan dengan 17 Rabiul Akhir 1433 H (sebulan lebih dari ulangtahun kelahiran Baginda), pada hari Rabu, bermula dengan mengambil kehadiran pelajar oleh guru tingkatan masing-masing.
Kemudian, pelajar belum Islam diasingkan untuk acara mereka sendiri manakala pelajar Muslim bersedia dalam kumpulan unit beruniform, untuk perarakan. Didahului oleh unit beruniform kadet polis, kadet remaja sekolah, pengakap, kadet bomba, pandu puteri, puteri islam dan persatuan bulan sabit malaysia (juga dari unit pendidikan khas). Jika dibandingkan dengan tahun yang lepas iaitu pada hari sabtu, kehadiran adalah sangat baik dan memuaskan (mungkin kerana hari persekolahan, tiada alasan untuk tidak ke sekolah).
Acara seterusnya adalah makan. Seperti yang ustaz telah sebutkan, biasanya dalam majlis maulidurrasul, makan tidak pernah dikecualikan. Sama ada berzanzi (selawat ke atas Baginda) dan makan, ceramah dan makan ataupun berzanzi, ceramah dan makan. Alhamdulillah, makanan adalah nasi beriyani daging berairkan asam boy.
Acara yang seterusnya adalah bacaan berzanzi, dan bacaan Al-Quran. Saat yang ditunggu-tunggu pun tiba iaitu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Sunhaji bin Haji Selamat. Ustaz memulakan ceramah dengan pemberian gula-gula, katanya untuk mengelakkan daripada mengantuk. Juga kata-kata semangat "are you ready" yang mengkehendaki pelajar menjawab "yes" sebanyak tiga kali.
Antara inti pati ceramah beliau adalah setiap kata-kata itu adalah doa, termasuk lirik lagu. Oleh itu berhati-hatilah dengan kata-kata. lagu-lagu yang negatif perlu dihindarkan, seperti lagu cari jodoh yang antara kandungannya mengakui bahawa diri sendiri tidak 'laku', dikhuatiri akan menjadi doa kerana disebut berulang-ulang kali.
Selain itu, ustaz menceritakan bahawa suatu ketika, malaikat bertanya kepada Allah s.w.t., mengapakah hambanya yang beriman hanya dikabulkan satu sahaja permintaan daripada 10 permintaan yang dimohon, sedangkan si bukan Islam meminta satu sahaja permintaan, tetapi diberinya 10 nikmat. Jawabnya adalah kerana Aku tidak mahu hambaKu yang bukan Islam memohon lagi kepada patung yang dipersekutukan denganKu, kerana hambaKu itu akan disibukkan dengan 10 nikmat yang diterima, manakala bagi yang beriman, Aku hanya makbulkan satu sahaja nikmat yang diminta, kerana Aku rindu dengan tangisan dan harapannya setiap malam.
Majlis diakhiri dengan 10 quiz agama dan selepas itu, pelajar pun bersurai. Sekian.
li- Tugasan yang li terima adalah pengemasan terakhir dan rewang malam (habis jam 3 pagi).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan